Thursday, March 12, 2009

Pesara selamat selepas 3 hari jatuh dalam sungai

KUANTAN 12 Mac ¡ª Seorang pesara yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Belat, berdekatan kawasan perumahan Taman Inderapura, dekat sini ketika memancing Selasa lepas ditemui selamat hari ini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuantan, Penolong Penguasa Bomba, Hamdani Madon berkata, mangsa, Razali Jaafar, 58, dikatakan memancing ikan di sungai tersebut dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai pada hari itu.

¡°Keluarga mangsa yang menetap di Gudang Rasau dekat sini membuat laporan polis semalam apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas pergi memancing sendirian Selasa lepas,¡± katanya kepada Bernama di sini.

Operasi mencari bermula sejak 8 pagi tadi dan berakhir pada 11.35 pagi apabila mangsa ditemui tertiarap di pinggir paya bakau kira-kira 500 meter dari kawasan hilir sungai, katanya.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menjalani rawatan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat disertai dua buah bot polis, sebuah bot bomba, sebuah bot Jabatan Pertahanan Awam dan tiga bot nelayan.

¡ª BERNAMA

No comments: