Monday, July 23, 2007

CROC attack in Kota Bahru Kelantan


KOTA BHARU: Hanya tiga minit memisahkan Ibrahim Yaakob, 60, dengan maut apabila diserang buaya ketika mandi di tepi rumah rakitnya di Sungai Kelantan, dekat Lorong Minyak Gas, di sini, kira-kira 6.40 pagi semalam.

Ibrahim yang ditemui di rumahnya berkata, kejadian berlaku ketika dia hendak mandi di sungai itu.

“Ketika berada di dalam sungai untuk mandi, tiba-tiba tangan kiri pak cik terasa seperti digigit sesuatu dan kemudian berasa macam diseret ke bahagian sungai yang agak dalam.

“Masa itu barulah nampak buaya berkenaan,” katanya.

Dalam keadaan terkejut, kata Ibrahim, dia segera menyentap tangan kirinya yang sedang digigit, namun buaya itu semakin ganas dan menggigit kaki kirinya pula.

Ini menyebabkan dia bertindak nekad menendang kepala buaya itu sehingga haiwan berkenaan melepaskan gigitannya dan menghilangkan diri.

Menurutnya, dia memang cemas apabila terasa sesuatu menggigit tangan kirinya.

“Tapi, saya nekad melawan bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, buaya sepanjang kira-kira 2.4 meter itu turut melibas ekornya, mujur dia dapat bertindak cepat.

“Seorang jiran, Azman Jaafar, 48, menghantar saya ke di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ibrahim berkata, dia sudah biasa mandi di tepi rumah rakitnya sejak menetap di situ kira-kira 38 tahun lalu.

Bagaimanapun, kejadian serangan buaya itu pertama kali berlaku terhadapnya.

“Sejak mendiami rumah rakit ini dari mula berkahwin hingga sekarang dan mempunyai lapan anak, belum pernah berlaku kejadian diserang buaya walaupun kelibat haiwan itu berjemur sering dilihat,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian sama tidak berlaku kepada orang lain.

“Saya juga menasihatkan kanak-kanak supaya tidak bermain di tepi sungai itu kerana bimbang buaya itu akan mengganas,” katanya.

Isterinya, Kamariah Mahmud, 53, berkata ketika kejadian, dia menjerang air di dapur sebelum terdengar bunyi kocakan air kuat disusuli jeritan suaminya.

“Mendengarkan jeritan itu, saya bergegas ke pintu belakang dan mendapati suami dalam keadaan sangat lemah dan berlumuran darah di belakang rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Pazil Abdul Patah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengarahkan anggotanya memantau di sepanjang sungai itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan, haiwan yang menyerang Ibrahim daripada spesies buaya tembaga yang pernah beberapa kali dilihat berjemur di pinggir sungai sekitar kawasan berkenaan.

“Saya menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai itu bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.



_______________________________________________________________________________________

The story above is about a crocodile attack on a 60 year old Ibrahim Yakob in Kota bahru kelantan. What caught my attention is, that was a same spot where i used to fish with Fahmi in his 12 footer boat. actually, this freaking croc has been spotted there since march. And the goverment could do nothing about it. They should catch the croc and release it to some remote area in ulu kelantan.

No comments: